PUTRAJAYA, 15 OKTOBER 2025 – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM HOLDINGS SDN. BHD., En. Irwan A. Rahman, hari ini menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Pendaftaran Francaisor yang berlangsung di Pejabat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Putrajaya.

Dalam majlis tersebut, YBrs. Encik Adila Sabri bin Muhammad, Timbalan Pendaftar Francais di KUSKOP, telah menyampaikan Sijil Pendaftaran Francaisor kepada En. Irwan A. Rahman selaku penerima bagi pihak YAPEIM SMART VENTURE SDN BHD.

Sijil yang diterima merupakan Sijil Pendaftaran sebagai Francaisor bagi perniagaan Ar-Rahnu YAPEIM Premier, yang dilaksanakan oleh anak syarikat di bawah YAPEIM HOLDINGS, iaitu YAPEIM SMART VENTURE SDN. BHD.

Penganugerahan sijil ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi YAPEIM SMART VENTURE dalam memperkukuh kedudukan jenama Ar-Rahnu YAPEIM Premier sebagai francais patuh syariah yang berdaya saing dan mampu memperluas akses pembiayaan mikro kepada masyarakat di seluruh negara.

Menurut En. Irwan, pengiktirafan ini memberi ruang yang lebih luas kepada YAPEIM SMART VENTURE untuk memperkukuh model perniagaan francais berasaskan nilai Islamik, di samping membuka peluang kerjasama strategik bersama usahawan tempatan melalui konsep francais Ar-Rahnu YAPEIM Premier.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak KUSKOP atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan serta menegaskan komitmen YAPEIM SMART VENTURE untuk terus memainkan peranan aktif dalam memacu agenda keusahawanan dan pembangunan ekonomi umat melalui model francais yang mampan.